Pilih Bahasa

LELAKI BAWA KERANG TANPA PERMIT PERIKANAN DITAHAN POLIS MARIN

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Seorang lelaki tempatan ditahan ketika cuba membawa masuk 200 kilogram kerang hidup tanpa permit dari Jabatan Perikanan, di perairan Batu 3, di sini, pagi kelmarin.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata pihaknya yang sedang menjalankan Operasi Gelora mengesan bot jongkong yang dinaiki suspek kira-kira pukul 9 pagi sebelum bertindak memintas bot terbabit.

Suspek berusia 49 tahun ditahan ketika cuba membawa masuk kerang hidup ke Tawau tanpa permit daripada Jabatan Perikanan. Gambar SNT /Ihsan PPM Tawau

“Hasil pemeriksaan di dalam bot mendapati terdapat lapan guni berisi kerang hidup.

“Suspek berusia 49 tahun itu juga gagal menunjukkan sebarang dokumen atau surat kebenaran daripada Jabatan Perikanan untuk membawa kerang hidup yang dianggarkan seberat 200kg,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Pajeri berkata suspek mengaku kerang hidup berkenaan dibawa dari Kampung Tanjung Aru Indonesia dan cuba dipasarkan di daerah ini.

Bot jongkong yang dinaiki suspek berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau di perairan Batu 3, Jalan Apas Tawau, kira-kira pukul9 pagi tadi. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Semua barangan dirampas termasuk kerang yang dianggarkan bernilai RM600 dan dibawa ke Markas Operasi PPM untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Akta Perikanan 1985,” katanya. – SabahNewsToday