Pilih Bahasa

Lelaki berdepan hukuman mati dituduh edar 5.3 kilogram syabu

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membawa 5.3 kilogram dadah jenis syabu, Jun lalu.

Tertuduh, Iun Chun Peng, 32, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ferhansha Farene Mohd Ferdaus.

Iun Chun Peng dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau hari ini dipercayai membawa 5.3 kilogram syabu di Lapangan Terbang Tawau, Jun lalu. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 5,325.80 gram, di Balai Polis Lapangan Terbang Tawau, pukul 3.45 petang, 24 Jun lalu.

Tertuduh didakwa dibawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh akan dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup. Jika tidak dijatuhkan hukuman mati, maksimum 15 sebatan akan dikenakan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Dg Nur Azarinawaty Ag Kachee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah turut menetapkan 8 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Sabah News Today sebelum ini melaporkan seorang lelaki ditahan di pintu ketibaan Lapangan terbang Tawau disyaki cuba menyeludup masuk dadah jenis syabu dari Kuala Lumpur.

Suspek turut mengaku menerima habuan RM6,000 untuk membawa dadah terbabit melalui udara.-SabahNewsToday