Pilih Bahasa

Lelaki cedera terjun dari bangunan terbakar

Oleh Junaidi Ladjana

Kebakaran membabitkan tingkat dua bangunan kedai di Jalan Keleto Inanam. – Gambar SNT/Ihsan JBPM

KOTA KINABALU: Seorang penyewa di tingkat dua bangunan kedai di Jalan Keleto Inanam, di sini terpaksa terjun dari tingkat atas bangunan berkenaan dalam satu kebakaran malam tadi.

Mangsa dikenali sebagai Saimon Pandawelan, 40, yang cedera di bahagian lutut dan kaki menerima rawatan awal sebelum dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan jam 10.41 malam, dua jentera bersama 10 anggota termasuk Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas Agustavia Joe Guasi bergegas ke lokasi kebakaran.

Pasukan bomba berusaha memadam api daripada merebak ke lot bersebelahan dalam kebakaran bangunan kedai di Jalan Keleto Inanam, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan JBPM

“Setiba di lokasi api sedang marak di tingkat atas bangunan  berkenaan dan pasukan bomba terus bertindak memadam api daripada terus merebak ke lot bersebelahan dan lot bawah kedai.

“Semua penyewa seramai sembilan orang berjaya keluar termasuk seorang penyewa yang terpaksa terjun daripada tingkat atas untuk menyelamatkan diri.

“Mangsa yang cedera pada bahagian lutut dan kaki menerima rawatan awal dan dibawa ke hospital oleh ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Katanya, operasi terkawal pada pukul 11.30 malam dan kebakaran membabitkan sebuah kediaman bangunan kedai di tingkat atas yang terbakar sepenuhnya.

“Operasi memadam api tamat sepenuhnya kira-kira 12.08 tengah malam manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih di dalam siasatan,” katanya.

Operasi memadam kebakaran turut dibantu seramai enam anggota bersama sebuah jentera dari BBP Sembulan. – SabahNewsToday