Pilih Bahasa

Lelaki diberkas, polis rampas ganja

Oleh Junaidi Ladjana

PENAMPANG: Polis menahan seorang lelaki dan merampas dadah jenis ganja yang ditemui di dalam kereta suspek di kawasan parkir Kompleks Sukan Penampang, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, suspek berusia 35 tahun ditahan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

DSP Mohd Haris Ibrahim. Gambar Fail SNT

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata pihaknya menahan sebuah kereta kerana dipercayai terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah.

“Ketika serbuan, suspek berada di bahagian tempat duduk pemandu dan ketika pemeriksaan suspek menyerahkan sendiri satu plastik warna hitam.

“Pemeriksaan pada plastik berkenaan menemui 18 peket plastik lutsinar berisi dedaun kering disyaki dadah jenis ganja,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Mohd Haris berkata tangkapan dan rampasan dadah ganja seberat 59.77 gram di bawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut.

“Saringan awal air kencing mendapati suspek warga tempatan positif dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.-SabahNewsToday