Pilih Bahasa

Lelaki dikhuatiri hilang di hutan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SEMPORA: Seorang lelaki dikhuatiri hilang ketika masuk ke hutan bersama dua lagi rakannya, di Kampung Siaban, dekat sini, hari ini.

Mangsa Harianto Pungut berusia dalam lingkungan 30an dipercayai masuk ke hutan bersama dua rakannya kira-kira pukul 8 pagi, semalam.

Operasi mencari dan menyelamat turut dibantu anggota Angkatan Pertahanan Malaysia (APM). Gambar SNT / Ihsan JBPM Sabah

Bagaimanapun, dua rakannya berjaya keluar dengan selamat pada pukul 4 petang namun mendapati mangsa masih tidak keluar dari hutan berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata ekoran kejadian itu, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada rakan mangsa pukul 10.20 pagi tadi.

“Lima anggota bomba bersama seorang pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 39 Kilometer menaiki jentera bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Pihak bomba mengambil maklumat berhubung kejadian daripada rakan mangsa. Gambar SNT / Ihsan JBPM Sabah.

“Bagaimanapun, operasi ditangguh pukul 3 petang tadi dan pencarian mangsa akan dikemaskini daripada semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan, lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa. – SabahNewsToday