Pilih Bahasa

Lelaki dikhuatiri lemas ketika menangkap ikan

Oleh Junaidi Ladjana

RANAU: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas tidak pulang ke rumah sejak semalam, ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan di Sungai Kagibangan, Kampung Bitoon, di sini.

Lokasi mangsa dikhuatiri lemas. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Mangsa Junaidi Jaukan, 32, tahun dikatakan keluar rumah bersendirian kira-kira jam 3 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, sebaik menerima panggilan jam 10.15 pagi tadi, seramai empat anggota bomba bersama sebuah jentera serta kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

Penduduk kampung turut membantu dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa. Gambar SNT/Ihsan Bomba

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa segera dilakukan di lokasi terakhir mangsa dilaporkan menangkap ikan hingga jarak dua kilometer di sungai berkenaan.

“Seramai 20 penduduk kampung turut membantu operasi SAR,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, sehingga jam 6 petang tadi, mangsa belum ditemui.

Operasi SAR di Sungai Kagibangan. Gambar SNT/Ihsan Bomba

“Operasi SAR ditangguhkan kerana keadaan gelap dan akan disambung pagi esok.

“Sepasukan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Ranau turut membantu dalam operasi SAR,” katanya. – SabahNewsToday