Pilih Bahasa

Lelaki diserbu ketika sedang urus niaga jual dadah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Bungkusan plastik lutsinar yang berisi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah dirampas oleh polis dalam serbuan di kawasan Kampung Titingan Tengah, Tawau. – Gambar SNT / Ehsan IPD Tawau

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki dan merampas dadah dipercayai jenis syabu kristal seberat 32.7 gram bernilai RM3,000 di kawasan Kampung Titingan Tengah, semalam.

Ketua Polis Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata dalam serbuan pada pukul 7.20 malam itu polis telah menemui bungkusan plastik lutsinar yang berisi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah di celah kayu di bawah sebuah rumah.

“Hasil maklumat awam polis telah melakukan intipan ke lokasi itu dan dalam masa sama ternampak suspek sedang berurus niaga dadah kepada seorang pelanggan.

Suspek yang disyaki pengedar dadah ditahan dalam serbuan polis di Kampung Titingan Tengah, Tawau. – Gambar SNT / Ehsan IPD Tawau

“Pihak polis terus melakukan serbuan dan ketika pemeriksaan badan ke atas suspek, polis tidak menemui benda salah, namun dalam pemeriksaan lanjut di kawasan rumah tersebut polis telah menemui bungkusan tersebut.

“Suspek yang berusia 38 tahun dan tidak memiliki kad pengenalan ditangkap dan barang kes dirampas serta dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Fadil berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – SabahNewsToday