Pilih Bahasa

Lelaki disyaki pengedar dadah kecil-kecilan diberkas

Oleh Junaidi Ladjana

LAHAD DATU: Cubaan seorang lelaki dipercayai pengedar dadah melarikan diri ketika serbuan di kawasan kebun sawit di Batu 15 Jalan Silam, di sini gagal apabila suspek ditahan bersama sejumlah dadah jenis syabu, kelmarin.

Dalam operasi pada pukul 3 petang itu, anggota Strike Team Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu yang menjalankan pemantauan di kawasan berkenaan menahan seorang lelaki selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Suspek disyaki pengedar dadah ditahan polis dalam serbuan di kawasan kebun sawit di Jalan Silam, Lahad Datu. – Gambar SNT/Ihsan IPD Lahad Datu

Bagaimanapun, sebaik memperkenalkan diri sebagai pegawai polis, suspek bertindak cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, hasil kecekapan pasukan polis yang melakukan operasi akhirnya berjaya menahan suspek yang berusia 29 tahun terbabit.

Katanya ketika pemeriksaan tubuh badan, suspek dengan sendirinya menyerahkan dua paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

Dadah jenis syabu yang dirampas polis dari IPD Lahad Datu. – Gambar SNT/Ihsan IPD Lahad Datu

“Syabu yang dirampas dianggarkan seberat kira-kira lima gram bersama satu gunting kecil dan lima gulung kertas timah.

“Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM750 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor. Gambar SNT

Nasri berkata hasil ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,

Katanya hasil semakan mendapati suspek mempunyai kes jenayah lampau membabitkan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek dipercayai pengedar dadah kecil-kecilan di kawasan berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya. – SabahNewsToday