Pilih Bahasa

LELAKI DITAHAN BUAT KAD KEAHLIAN U.M.B.C.O UNTUK WARGA ASING

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Polis berjaya menahan seorang lelaki disyaki terbabit dalam penyediaan Kad Matrik Union Malaya Borneo Corporation (UMBCO) kepada warga asing, di sebuah rumah, di Kampung Sentosa, Jalan Utara, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, sepasukan polis dari Strike Team Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tawau menjalankan serbuan di rumah terbabit dan membuat pemeriksaan ke atas suspek berusia 43 tahun.

Suspek berusia 43 tahun aktif menyediakan Kad Matrik Union Malaya Borneo Corporation (UMBCO) kepada warga asing, sejak sebulan lalu. Gambar SNT/Ihsan IPD Tawau

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, hasil serbuan tersebut, pihaknya menemui beberapa fail kuning dan cop yang digunakan suspek untuk proses pengurusan kad matrik terbabit.

“Hasil siasatan awal mendapati, fail kuning berkenaan digunakan untuk menjalankan pengurusan membuat Kad Matrik UMBCO kepada warga asing dan individu yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri di Sabah.

Kad Matrik UMBCO. Gambar SNT/Ihsan IPD Tawau

“Kad matrik terbabit dipercayai boleh digunakan sebagai satu identiti yang mempunyai fungsi seperti kad pengenalan dan passport,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Fadil berkata, pemilik kad matrik UMBCO kononnya mempunyai keistimewaan iaitu tidak akan ditangkap oleh pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) , Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) atas kesalahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Katanya, setiap individu yang ingin memohon kad matrik tersebut hanya dikenakan bayaran RM50 untuk proses pengurusan.

“Hasil siasatan juga mendapati, suspek hanya perlu mengambil nama pemohon dengan mengenakan bayaran RM50.

Cop yang digunakan suspek untuk memproses kad matrik terbabit. Gambar SNT/Ihsan IPD Tawau

“Selepas suspek sudah memperoleh nama pemohon, suspek akan memproses pengeluaran kad tersebut di mana-mana kedai alat tulis di daerah ini dan kad tersebut akan siap dalam tempoh tiga hari waktu bekerja.

“Siasatan awal juga mendapati, suspek menjalankan kegiatan ini seorang diri sejak sebulan lalu dan tidak mempunyai syarikat yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Majlis Perbandaran Tawau (MPT),” katanya.

Polis turut merampas fail kuning tertera tulisan Union Malaya Borneo Corporation (UMBCO) dan wang tunai. Gambar SNT/Ihsan IPD Tawau

Mengulas lanjut, Fadil berkata, suspek juga didapati tidak mempunyai sebarang kebenaran bertulis sama ada dari pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) , PDRM, JPN dan Imigresen untuk menjalankan kegiatan dan memproses kad matrik UMBCO.

“Hasil serbuan tersebut, kita merampas 19 fail berwarna kuning tertera tulisan Union Malaya Borneo Corporation (U.M.B.C.O), wang tunai RM606, cop yang digunakan suspek untuk proses kad matrik, dan telefon bimbit.

“Suspek kini direman dan kes disiasat dibawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan,” katanya. – SabahNewsToday