Pilih Bahasa

Lelaki ditahan cabul adik sepupu

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Seorang lelaki ditahan mencabul adik sepupunya berusia lapan tahun di sebuah rumah, di Kampung Bumiputera, Jalan Silam, dekat sini, Selasa lalu. 

Suspek berusia 33 tahun itu berjaya diberkas pada hari yang sama di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah, kira-kira pukul 11 malam susulan laporan polis yang dibuat ibu mangsa.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata kejadian berlaku ketika mangsa mencari adik sepupunya di rumah suspek sebelum dipanggil masuk ke dalam bilik. 

“Mangsa dipanggil masuk ke dalam bilik suspek dengan alasan mahu memberikan biskut kepada mangsa. 

“Mangsa kemudian diberikan biskut, dibaringkan di atas katil dan diberikan telefon bimbit suspek kepada mangsa untuk melihat gambar suspek bersama dengan isteri. 

“Suspek membuka separuh seluar mangsa dan turut membuka seluarnya sendiri lalu mengenakan kemaluannya ke kemaluan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut. 

“Doktor mengesahkan tiada kesan koyakan di bahagian kemaluan mangsa namun terdapat kesan kemerahan.

“Suspek sudah ditahan dan disiasat dibawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017,” katanya. – SabahNewsToday