Pilih Bahasa

Lelaki ditahan cederakan isteri dan anak tiri guna besi angkat berat

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Seorang lelaki ditahan polis dipercayai mencederakan isteri dan anak tirinya dengan menggunakan dumb bell (besi angkat berat), di sebuah rumah, di kampung Tanabak, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata suspek berusia 36 tahun itu ditahan pukul 10.45 malam ketika sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menjalankan Operasi Cantas di kawasan terbabit.

Suspek berusia 36 tahun memukul isteri dan anaknya menggunakan besi serta membaling dumbbell(besi angkat berat) ke arah mereka sehingga mendatangkan kecederaan. Gambar SNT / Ihsan IPD Lahad Datu

Beliau berkata, suspek memukul isterinya berusia 26 tahun pada 14 April lalu dan semalam selepas berang apabila mangsa dan anak tirinya keluar rumah tanpa pengetahuan suspek.

“Mangsa keluar rumah disebabkan tidak tahan dengan sikap suspek yang sering memukul.

“Suspek yang mengetahui hal itu kemudian bertindak ganas dengan mencederakan mangsa dan anak tiri mangsa menggunakan sebatang besi.

“Suspek turut membaling besi angkat berat ke bahagian badan mangsa sehingga belakang badan dan kaki mangsa lebam manakala anak tirinya cedera di bahagian rusuk kanan dan kaki kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nasri berkata bimbang kejadian makin teruk berlaku, mangsa dan anak tirinya melarikan diri dan membuat laporan polis di IPD Lahad Datu.

“Suspek berjaya ditahan di sebuah rumah. Kita turut merampas dua buah besi termasuk besi angkat berat yang digunakan suspek ketika kejadian,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata hasil siasatan lanjut mendapati mangsa baru berkahwin dengan suspek Februari 2019 secara nikah kampung.

“Perkahwinan suspek dengan mangsa adalah perkahwinannya yang ketujuh kali.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.-SabahNewsToday