Pilih Bahasa

Lelaki ditahan jual barangan curi

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Polis Kota Kinabalu menahan seorang lelaki selepas didapati membeli barangan curi sebelum menjualnya kepada kenalannya.

Suspek berusia 28 tahun itu ditahan di sebuah bilik sewanya di Kolombong, di sini, pada jam 10.45 pagi, Rabu lalu.

Habibi (tengah) menunjukkan barang yang dirampas selepas menahan suspek di sebuah bilik sewa di Kolombong, Kota Kinabalu.-Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Difahamkan, suspek membeli semua barangan berkenaan daripada tiga rakan sejenayah yang sudah ditahan polis dan dituduh di mahkamah sebelum ini.

Suspek dipercayai membeli semua barangan curi pada harga yang murah sebelum mengaut keuntungan dengan menjual kepada kenalannya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata siasatan awal mendapati, ketiga-tiga penjenayah yang ditahan pada awalnya memecah masuk pejabat sebelum melarikan 12 barangan di pejabat berkenaan.

Katanya semua barangan elektronik berkenaan kemudiannya dijual kepada suspek yang tinggal di sebuah bilik sewa di Lorong Buah Duku, Kolombong, di sini.

“Antara barangan yang dilarikan adalah pembesar suara, amplifier, set komputer, set karaoke dan televisyen serta beberapa lagi barangan elektronik lain.

“Suspek yang bertindak sebagai broker barangan curi itu ditahan polis pada jam 10.45 pagi, Rabu lalu, selepas polis mendapat maklumat hasil siasatan dan risikan,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Barangan curi yang dirampas semula oleh pasukan polis..-Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Habibi berkata semua barangan yang berjaya dirampas semula dianggarkan bernilai RM8,000 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya juga didapati positif,” katanya.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman sehingga 24 Mei depan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – SabahNewsToday