Pilih Bahasa

Lelaki ditahan miliki 2 laras ‘ginsuk’ dengan alasan untuk tembak burung

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang ditahan kerana memiliki dua laras senjata api di hentian bas tepi jalan Kampung Kionsom Kecil, Inanam, Isnin lalu memberi alasan kononnya untuk menembak burung hutan.

Dalam kejadian pukul 8 malam itu, senjata api buatan sendiri jenis ginsuk berkenaan ditemui di dalam sebuah bengkel kimpalan, kira-kira 10 meter dari lokasi suspek ditahan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji (tengah) bersama pegawainya pada sidang media di IPD Kota Kinabalu, hari ini. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata ketika ditahan, suspek membawa pasukan polis ke sebuah bengkel berhampiran kampung berkenaan.

Katanya hasil pemeriksaan, polis menemui dua laras ginsuk yang disorok di dalam bengkel berkenaan.

“Hasil siasatan awal, suspek  berusia 19 tahun itu mengaku memiliki senjata berkenaan selepas diwarisi daripada arwah datuknya.

“Suspek turut mengaku menggunakan senjata itu untuk menembak burung di dalam hutan di kampung berkenaan dan kali terakhir menggunakannya pada bulan lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Senjata buatan sendiri atau dipanggil ‘Ginsuk’ yang dirampas dari suspek. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Habibi berkata pihaknya masih lagi menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui daripada mana senjata itu diperoleh oleh suspek dan apa tujuan pemiliki senjata berkenaan.

“Suspek kini ditahan reman sehingga 7 Ogos depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji (tengah) bersama pegawainya pada sidang media di IPD Kota Kinabalu, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Sementara itu, Habibi menasihati orang awam yang memiliki senjata api buatan sendiri supaya menyerahkan kepada polis.
“Memiliki senjata api buatan sendiri bukan saja salah disisi undang-undang tetapi juga boleh mendatangkan kecederaan dan kematian sekiranya disalahguna. – SabahNewsToday