Pilih Bahasa

Lelaki ditahan terbabit kes miliki rokok seludup bernilai RM31,200

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Seorang lelaki ditahan manakala rakannya diburu selepas disyaki terbabit dalam kes memiliki rokok seludup bernilai RM31,200, di kawasan Kampung Sabah Baru, Jalan Tengah Nipah, dekat sini semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 malam, suspek berusia 45 tahun itu ditahan oleh sepasukan Unit Tiger Platoon Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) Lahad Datu.

Sejumlah 1,040 kotak rokok seludup jenama Premium ditemui di dalam kenderaan jenis Proton Waja. Gambar SNT / Ihsan IPD Lahad Datu

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata ketika kejadian anggota PGA sedang menjalankan tugas risikan sebelum terserempak sebuah kenderaan jenis Proton Waja mencurigakan.

Katanya pihak PGA kemudian menghampiri kenderaan terbabit dan seorang suspek bertindak melarikan diri menuju ke kawasan kampung.

“Suspek bagaimanapun gagal dikesan kerana kawasan sekitar kampung yang gelap namun seorang lagi suspek yang berada di dalam kenderaan berjaya ditahan.

Suspek berusia 45 tahun berjaya ditahan manakala rakannya melarikan diri. Gambar SNT / Ihsan IPD Lahad Datu

“Pemeriksaan kemudian dijalankan dan menemukan 1,040 kotak rokok seludup jenama Premium bernilai RM31,200 yang disembunyikan di dalam bonet dan tempat duduk bahagian belakang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Nasri berkata rokok berkenaan dibawa dari Tawau dan cuba dipasarkan di sekitar daerah ini.

“Suspek ditahan manakala rakannya diburu. Semua rokok dan kenderaan dirampas.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” jelasnya. -SabahNewsToday