Pilih Bahasa

Lelaki ditangkap cuba buka kunci ATM guna pin kertas

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Tindakan seorang lelaki cuba mencuri wang daripada mesin ATM menggunakan dawai pin kertas mengundang padah apabila ditahan polis dalam kejadian di ruang lobi sebuah bank, Jalan Perbandaran, dekat sini tadi.

Dalam kejadian pukul 8.20 pagi, suspek tanpa dokumen pengenalan diri berusia 27 tahun ditahan oleh empat anggota polis MPV yang bertindak ke lokasi kejadian selepas menerima aduan daripada orang awam berhubung kejadian itu.

Suspek berjaya dicekup oleh sepasukan polis MPV ketika cuba mencuri wang daripada mesin ATM sebuah bank. Gambar SNT / Ihsan IPD Tawau

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Nor Azizulkifli Mansor berkata analisa melalui video rakaman litar tertutup (CCTV) mendapati suspek masuk ke lobi bank terbabit dan cuba membuka bahagian bawah penutup mesin ATM namun gagal.

“Rakaman CCTV mendapati suspek kelihatan cuba membuka penutup mesin ATM menggunakan dawai pin kertas yang diambil di dalam tong sampah berhampiran mesin ATM itu namun tidak berjaya.

Rakaman video CCTV menunjukkan lelaki tersebut sedang cuba membuka kunci ATM menggunakan pin kertas. Gambar SNT/Ihsan IPD Tawau

“Suspek kemudian bertindak menarik penutup mesin ATM menggunakan tangan sehingga terbuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, rakaman CCTV itu turut menunjukkan suspek keluar semula dari lobi bank dan mengambil sebatang kayu di bahagian tepi kaki lima bank terbabit sebagai menghadang pintu masuk ruang lobi mesin ATM.

Lelaki tersebut berjaya membuka pintu bahagian luar secara paksa. Gambar SNT/Ihsan IPD Tawau

“Tujuannya supaya orang awam tidak dapat masuk ke dalam bank berkenaan. Ketika kejadian, beberapa orang awam yang cuba masuk ke bank terbabit turut dihalau oleh suspek.

“Orang awam yang melihat kejadian itu bertindak menghubungi polis dan suspek berjaya dicekup oleh sepasukan polis MPV yang bergegas ke lokasi kejadian.

Nor Azizulkifli berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek turut positif dadah jenis methapentamine dan amphetamine.

“Suspek ditahan dan kes disiasat dibawah Seksyen 380/511 Kanun Keseksaan,” katanya. – SabahNewsToday