Pilih Bahasa

LELAKI DITEMUI MATI DI DALAM SUNGAI

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Angota bomba Kinabatangan menemui mayat lelaki warganegara tempatan yang dilaporkan hilang di dalam Sungai Segaliud, Batu Empat berhampiran Ladang Sime Darby, petang tadi. – Gambar SNT/ Ehsan Bomba

SANDAKAN: Seorang lelaki ditemui mati di dalam Sungai Segaliud, Batu Empat berhampiran Ladang Sime Darby, dekat sini, hari ini.

Mangsa dikenali pasti sebagai Castelo Carlos Jantina, 43, dipercayai keluar memancing di kawasan berkenaan sekitar pukul 3 petang pada Rabu namun dilaporkan hilang berikutan mangsa tidak pulang ke rumah hari yang sama.

Lokasi kejadian mangsa dipercayai memancing sebelum ditemui mati di dalam Sungai Segaliud, Batu Empat berhampiran Ladang Sime Darby. – Gambar SNT/ Ehsan Bomba

Pegawai Bomba Kanan Dua Balai Bomba Kinabatangan, Ahmad Khairul Haris berkata pihaknya hanya menerima laporan tentang kehilangan mangsa kira-kira pukul 7.41 pagi hari ini menerusi panggilan yang dibuat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan bagi meminta bantuan mencari lelaki terbabit di kawasan sungai berkenaan.

Ahmad Khairul berkata beliau bersama empat anggota menggunakan sebuah kenderaan utiliti dan bot bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapatkan maklumat lanjut berkaitan mangsa daripada pengurus ladang.

“Operasi dijalankan sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang. Bagaimanapun, kita berjaya menemui mangsa pada pukul 4.21 petang kira-kira empat kilometer daripada tempat mangsa dipercayai memancing.

 “Mangsa ditemui dalam keadaan separuh badan dan dipercayai sudah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya sambil menambah operasi tamat sepenuhnya pada pukul 5.50 petang.

Beliau berkata pihaknya seterusnya mengambil mayat lelaki berkenaan dan menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. – SabahNews Today