Pilih Bahasa

[Update] Lelaki Indonesia hilang dikhuatiri dibaham buaya ketika memancing ditemui

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Mayat lelaki warganegara Indonesia yang hilang dipercayai dibaham buaya ketika memancing di tepi sungai, Ladang Tabin, Jalan Temenggung, dekat sini semalam berjaya ditemui hari ini.

Mayat mangsa Rudy Gessa, 44, ditemui sepasukan anggota bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 12.25 tengah hari.

Mayat mangsa ditemui dua kilometer dari lokasi mangsa menjalankan aktiviti memancing. Gambar SNT / Ihsan JBPM Sabah

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, mayat mangsa ditemui sejauh dua kilometer dari lokasi mangsa memancing.

Operasi kemudian ditamatkan pada pukul 1 tengah hari dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, mangsa dipercayai hilang kira-kira pukul 4 petang semalam selepas keluar memancing di lokasi terbabit.

Pihak bomba kemudian menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 8.02 pagi tadi.

Tiga anggota dan seorang pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu kemudian bergegas ke lokasi kejadian sejauh 65 kilometer menaiki sebuah jentera penyelamat.-SabahNewsToday