Pilih Bahasa

LELAKI INDONESIA HILANG HAMPIR SEMINGGU DIKHUATIRI LEMAS

SANDAKAN, 20 Jan (Bernama) — Seorang warga Indonesia dikhuatiri lemas di Sukau, Kinabatangan, kira-kira 130km dari sini, apabila gagal pulang rumah di Ladang Leepa 1 sejak 15 Jan lepas.

Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sandakan hari ini, laporan kehilangan Samsong Bunga, 38, hanya dibuat di Balai Polis Sukau semalam.

Mangsa dikatakan ke Ladang Permodalan 1 untuk mengambil bapa saudaranya yang sedang sakit kira-kira 9 pagi 15 Jan.

Bagaimanapun, keadaan hujan lebat pada hari tersebut telah menyebabkan jalan dinaiki air dan mangsa dikhuatiri lemas ketika dalam perjalanan.

Mod perjalanan mangsa sama ada berjalan kaki atau menggunakan kenderaan tidak dapat dipastikan.

Gerakan mencari dan menyelamat Samsong melibatkan pelbagai agensi penyelamat gagal menjumpai mangsa sehingga 9 malam tadi akibat keadaan gelap dan hujan, dan operasi diteruskan pukul 8 pagi ini.

— BERNAMA