Pilih Bahasa

Lelaki kerugian RM20,000 ditipu sindiket Macau Scam

Oleh Junaidi Ladjana

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim. – Gambar SNT/Junadi Ladjana

PENAMPANG: Seorang lelaki kerugian RM20,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam oleh seorang individu yang menyamar sebagai pegawai polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata mangsa berusia 59 tahun itu menerima panggilan ketika berada di Putatan daripada individu yang menyamar sebagai kakitangan TM dari Kuala Lumpur.

“Suspek membuat panggilan pukul 9 pagi tadi dan menyatakan dua talian telefon yang didaftarkan atas nama mangsa terbabit dengan kes perjudian dan pengubahan wang haram.

“Panggilan telefon itu kemudian disambung kepada pegawai polis disyaki menyamar kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

“Mangsa diarah memindahkan semua wang dari akaunnya ke akaun Bank Negara (disyaki palsu) untuk siasatan lanjut pihak polis dan Bank Negara,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Haris berkata mangsa kemudian membuat dua transaksi perpindahan wang secara dalam talian ke akaun yang diberikan oleh suspek sebanyak RM20,000.

“Suspek sekali lagi mengarahkan mangsa membuat perpindahan wang RM10,000 namun tidak berjaya.

“Mangsa merasa dirinya ditipu lalu membuat laporan polis,” katanya.

Menurutnya, siasatan sedang dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, Mohd Haris menasihatkan orang awam supaya tidak panik apabila menerima panggilan telefon daripada orang yang menyamar sebagai agensi penguatkuasaan. – SabahNewsToday