Pilih Bahasa

Lelaki maut dalam kemalangan di Jalan Ulu Kulut

Oleh Alfred Petrus

KOTA BELUD: Seorang lelaki berumur 21 tahun maut dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Ulu Kulut, Kota Belud-Kota Marudu, kelmarin.

Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 3.30 petang itu membabitkan kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax Single Cab serta kenderaan mangsa iaitu Kia Spectra.

Kenderaan mangsa yang maut selepas bertembung dengan sebuah Isuzu Dmax di Ulu Kukut, Jalan Kota Belud-Kota Marudu. Gambar SNT/Ihsan IPD Kota Belud

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata siasatan awal mendapati pemandu Isuzu Dmax berkenaan bersama seorang penumpang dari Kota Kinabalu menuju ke Kota Marudu bertembung dengan kenderaan mangsa, Fazrul Azha Ashjari di lokasi kejadian.

Kejadian dikatakan berlaku akibat kenderaan yang dinaiki mangsa hilang kawalan lalu masuk ke lorong bertentangan.

“Siasatan awal juga mendapati, faktor hujan menyebabkan permukaan jalan basah dan licin.

“Dalam kemalangan ini pemandu Kia Spectra mengalami kecederaan parah di bahagian kaki manakala penumpangnya iaitu mangsa meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat cedera parah di bahagian kepala serta patah kaki kanan.

Keadaan Isuzu Dmax selepas pertembungan dengan Kia Spectra berkenaan. Gambar SNT/Ihsan IPD Kota Belud

“Pemandu dan penumpang Isuzu Dmax tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan cuai. -Sabah News Today