Pilih Bahasa

Lelaki maut dihempap pokok

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Seorang pekerja kontrak maut selepas dihempap pokok yang ditebangnya sendiri, di Jalan Penempatan, bersebelahan tangki besar simpanan air Luyang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa Rainoid Mesayun, 18, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa maut di lokasi kejadian akibat dihempap pokok yang ditebangnya di Jalan Penempatan, Luyang, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata pihaknya menerima maklum kejadian menerusi panggilan kecemasan MERS999.

Katanya sebaik tiba di lokasi kejadian mendapati, seorang lelaki dalam keadaan terbaring dengan kecederaan di kepala dipercayai dihempap pokok.

“Menurut saksi kejadian, mangsa sedang memotong pokok seorang diri. Bagaimanapun, sebaik menyedari pokok berkenaan hampir tumbang, mereka terus menjerit mengarahkan mangsa melarikan diri.

“Namun mangsa lari ke arah yang salah dan terus dihempap pokok besar berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke HQE Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut. Gambar SNT/Insan IPD KK

Habibi berkata akibat daripada kejadian berkenaan, mangsa parah dan terus tidak sedarkan diri di tempat kejadian.

Katanya mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh doktor dari Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) pada jam 12.32 tengah hari.

“Mayat mangsa dibawa ke bilik mayat Hospital Queen Elizabeth 1 untuk tujuan ujian saringan Covid -19 dan bedah siasat.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya. – SabahNewsToday