Pilih Bahasa

LELAKI MAUT DIPERCAYAI TERJUN BANGUNAN

Oleh Mohd Nazllie Zainul

SANDAKAN: Seorang lelaki maut dipercayai terjun dari tingkat enam bangunan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.35 petang itu, mayat Lee Ying Fui, 56, ditemui dalam keadaan terlentang di kawasan bersimen menara berkenaan.

Seorang lelaki tempatan dijumpai terlentang di bawah bangunan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) diparcayai terjun dari tingkat enam bangunan berkenaan. Gambar SNT/ Sumber Media Sosial

Kejadian terbabit dipercayai hanya disedari oleh saksi yang terdengar bunyi dentuman kuat seperti objek berat jatuh ke tingkat bawah.
 
Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata sejurus terdengar bunyi dentuman terbabit, saksi segera keluar dari bangunan dan melihat terdapat mayat seorang lelaki tertiarap di lantai tingkat bawah bangunan.

Mohd Azhar berkata pihaknya masih melakukan siasatan untuk mengetahui motif sebenar kejadian.
 
Beliau berkata setakat ini kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Orang ramai melihat mayat lelaki yang dipercayai terjun dari tingkat enam bangunan Majlis Perbandaran Sandakan. Gambar SNT/Sumber Media Sosial

Mayat mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Duchess of Kent (HDOK) untuk proses bedah siasat.-SabahNews Today