Pilih Bahasa

Lelaki maut ditembak biras sendiri

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA MARUDU: Seorang lelaki maut ditembak oleh birasnya sendiri apabila berlaku perselisihan faham selepas mereka mabuk akibat meminum arak di sebuah rumah di Jalan Bintasan Darat di sini, kelmarin.

Kejadian pukul 8.30 malam itu, mangsa bersama suspek dan tiga ahli keluarga sedang berkaraoke di rumah tamu rumah mereka sambil meminum arak.

Begitupun, tiba-tiba berlaku perselisihan faham antara mangsa dan suspek sebelum tercetus pertengakaran antara mereka.

Mangsa kemudian dikatakan mengambil sebilah parang manakala suspek menuju ke dapur lalu kembali semula sambil membawa senapang buatan sendiri jenis ginsuk.

Suspek berusia 23 tahun disyaki mabuk kemudian melepaskan tembak ke arah mangsa hingga menyebabkan parah dibahagian badannya.

Mangsa berusia lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Jauteh Dikun ketika dihubungi berkata pihaknya yang menerima laporan mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi dan menahan suspek terbabit.

Katanya pihaknya turut merampas senapang buatan sendiri jenis ginsuk yang digunakan ketika kejadian itu.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Marudu untuk bedah siasat manakala suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – SabahNewsToday