Pilih Bahasa

Lelaki maut ditembak ketika sambutan hari jadi

Oleh Junaidi Ladjana

Lelaki yang maut ditembak ketika majlis hari jadi keluargannya di Kampung Linayukan Tongod, Kinabatangan. – Gambar SNT/Ihsan Polis

KINABATANGAN: Seorang lelaki maut ditembak menggunakan senjata api jenis bakakuk selepas terbabit perselisihan faham ketika menghadiri majlis hari lahir keluarga mangsa di Kampung Linayukan Tongod dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu mangsa berusia 40 tahun dikatakan menghadiri majlis berkenaan yang turut dihadiri oleh suspek.

Kedua-dua mereka serta beberapa individu lain dipercayai meminum minuman keras ‘tumpung’ hingga mabuk.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata selepas itu berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dengan suspek.

“Suspek kemudian pulang ke rumahnya dan kira-kira jam 9 malam suspek datang semula ke tempat kejadian dengan membawa selaras senapang bakakuk dan melepaskan satu das tembakan ke udara di tempat kejadian.

“Mangsa kemudian mencapai tukul dan terus bergerak ke arah suspek dan satu das telah dilepaskan oleh suspek ke arah mangsa hingga menyebabkan dia terbaring di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Senapang bakakuk ditemui dipercayai digunakan ketika kejadian. – Gambar SNT/Ihsan Polis

Menurutnya bapa mangsa yang melihat kejadian itu berlari ke arah suspek dan seterusnya suspek mencampakkan senapang bakakuk sebelum melarikan diri.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan di bawa ke Hospital Kinabatangan untuk bedah siasat.

“Suspek dikenalpasti dan usaha mengesan giat dilakukan dan polis menemui senapang bakakuk yang disyaki digunakan oleh suspek ketika kejadian,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – SabahNewsToday