Pilih Bahasa

Lelaki maut kenderaan dipandu bertembung bas ekspress

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Mangsa yang tersepit di bahagian tempat duduk penumpang dikeluarkan pihak bomba dan disahkan meninggal dunia. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

RANAU: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Vigo dipandunya bertembung dengan bas ekspress di Jalan Ranau-Sandakan Kampung Segindai di sini, semalam.

Mangsa Ramesh a/l Rasaiah, 50, yang membawa muatan sayur-sayuran parah akibat tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu bas cedera. 

Difahamkan mangsa sedang dalam perjalanan dari Telupid menghala ke Ranau manakala bas ekspress membawa 41 penumpang dari Kota Kinabalu menuju ke Semporna.

Toyota Vigo dan bas ekspress bertembung dalam kemalangan di Jalan Ranau-Sandakan Kampung Segindai. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pukul 10.22 pagi.

Pihak bomba kemudian respon ke lokasi kejadian sejauh 43 kilometer dengan kekuatan empat anggota dan seorang pegawai.

“Seorang mangsa tersepit dikeluarkan oleh pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi ditamatkan pada pukul 11.40 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini. – SabahNewsToday