Pilih Bahasa

Lelaki maut kereta bertembung lori empat tan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Seorang pemandu maut setelah kenderaannya bertembung dengan sebuah lori empat tan ketika cuba memotong sebuah kenderaan lain di selekoh jalan, Kilometer 18 Tawau-Merotai, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian pukul 3.39 petang itu, mangsa Muhammad Sofian Jahabi, 21, maut di lokasi kejadian akibat tersepit di bahagian tempat duduk kenderaan jenis Proton Wira yang dipandunya.

Kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk akibat pertembungan itu. Pemandu Proton Wira tersepit di tempat duduk. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Nor Azizulkifli Mansor berkata ketika kejadian mangsa sedang dalam perjalanan dari Merotai menuju ke Bandar Tawau cuba memotong kenderaan jenis Proton Iswara Aeroback yang berada di hadapannya.

“Bagaimanapun, mangsa gagal memotong kenderaan berkenaan lalu bertembung dan diseret sejauh 40 meter oleh sebuah lori jenis Isuzu empat tan yang berada di laluan bertentangan.

“Mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia.

Mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan disahkan maut di tempat kejadian. Gambar SNT / Ihsan Bomba

Nor Azizulkifli berkata, bedah siasat keatas mayat mangsa kini dijalankan dan kes disiasat dibawah Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan cuai.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah terima panggilan kecemasan pukul 3.11 petang berhubung kemalangan terbabit.

Enam anggota termasuk seorang pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Tawau kemudian bertindak ke lokasi kejadian dengan menaiki dua jentera penyelamat.

Kedua-dua kenderaan terbabas ke bahu jalanraya selepas perlanggaran tersebut. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Menurut Ketua Operasi, seorang mangsa tersepit di kenderaan Proton Wira berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Pasukan bomba kemudian menjalankan
pemeriksaan di sekitar kawasan dan operasi tamat pukul jam 5.55 petang. – SabahNewsToday