Pilih Bahasa

Lelaki maut, motosikal bertembung Toyota Land Cruiser

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Seorang lelaki maut manakala kakaknya patah tangan kanan apabila motosikal yang dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan jenis Toyota Land Cruiser, di Kilometer Enam Jalan Kuhara, tengah malam, semalam.

Dalam kejadian pukul 12.25 tengah malam itu, mangsa Firdaus Mohamad Askari, 19, dan kakaknya Siti Aishah Mohamad Askari, 21, menaiki motosikal jenis Yamaha Ego LC sedang dalam perjalanan dari arah Sungai Imam menuju ke Hospital Besar Tawau manakala pemandu Land Cruiser berusia 61 tahun dari arah Taman Da Hua Tiga menuju ke Gudang Empat.

Lokasi kejadian mangsa dan kakaknya dirempuh kenderaan jenis Toyota Land Cruiser. Gambar SNT / Ihsan IPD Tawau

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Nor Azizulkifli Mansor berkata ketika tiba di tempat kejadian, pemandu terbabit cuba memotong sebuah lori tanki.

“Dalam masa yang sama, Firdaus yang menunggang motosikal terbabit turut memotong kenderaan dari arah bertentangan hingga menyebabkan motosikalnya bertembung dengan Land Cruiser berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa parah dan dibawa ke Hospital Besar Tawau untuk menerima rawatan sebelum disahkan meningggal dunia.

“Kakak mangsa mengalami patah tangan kanan menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenderaan jenis Toyota Land Cruiser yang dipandu lelaki berusia 61 tahun bertembung dengan motosikal yang ditunggang mangsa bersama kakaknya. Gambar SNT / Ihsan IPD Tawau

Beliau berkata, siasatan berhubung kejadian itu masih dijalankan dan disiasat dibawah Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – SabahNewsToday