Pilih Bahasa

Lelaki maut, motosikal terbabas ke dalam tali air

Oleh Junaidi Ladjana

BEAUFORT: Seorang lelaki yang dalam perjalanan ke kebunnya berakhir tragedi apabila motosikal ditunggangnya terbabas lalu masuk ke dalam tali air di Jalan Kampung Tahak, Membakut, di sini, hari ini.

Kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa Mohd Yakub Abdillah, 57, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat lemas.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat lemas di dalam tali air di Jalan Kampung Tahak, Membakut. Gambar SNT/Ihsan IPD Beaufort

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Suzuki RG berseorangan dalam perjalanan dari Kampung Pimping menuju ke kebunnya di Kampung Tahak.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa gagal di kawal lalu terbabas dan masuk ke dalam tali air.

“Akibat kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat lemas di dalam tali air berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azmir berkata motosikal mangsa tidak mengalami kerosakkan dan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk siasatan lanjut.

Motosikal mangsa turut terjatuh ke dalam tali air.
Keadaan mangsa yang lemas di dalam tali air di Jalan Kampung Tahak, Membakut. Gambar SNT/Ihsan IPD Beaufort

“Siasatan awal mendapati punca kemalangan dipercayai mangsa gagal mengawal motosikal yang tunggangnya lalu terbabas jatuh dalam tali air.

“Bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan dan setakat ini tiada unsur-unsur khianat atau jenayah yang ditemui dalam kejadian itu,” katanya.

Tambah beliau lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – SabahNewsToday