Pilih Bahasa

Lelaki maut motosikal terjatuh dalam parit

Oleh Mohd Nazllie Zainul

SANDAKAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan sebelum terbabas di Jalan Batu Sapi, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, mangsa, Muhammad Zaqwan Adin, 27, dipercayai menunggang motosikalnya jenis Honda bersendirian.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata siasatan awal mendapati mangsa daripada arah kilang IOI Batu Sapi menuju ke Kampung Bokara sewaktu kejadian berlaku.

Mohd Azhar berkata bagaimanapun, setibanya  di lokasi kejadian motosikal dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kiri bahu jalan sebelum jatuh ke dalam parit.

“Mangsa meninggal dunia ditempat kejadian akibat kecederaan parah.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital duchess of Kent untuk tujuan bedah siasat,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Azhar berkata siasatan berkaitan kes kemalangan berkenaan masih diteruskan.

Kes disiasatan di bawah  Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, beliau meminta orang awam yang melihat kejadian terbabit diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. -SabahNews Today