Pilih Bahasa

Lelaki maut, sepupu parah kemalangan lori dan kereta

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Seorang maut manakala sepupunya parah selepas kereta dinaiki mereka terlanggar sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Terminal Inanam, Jalan Tuaran, semalam.

Kemalangan berlaku jam 11.32 malam menyebabkan Edigeo Supani, 20, yang memandu kereta Perodua Kancil meninggal dunia di lokasi kejadian kerana parah akibat tersepit.

Pasukan bomba melakukan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta Perodua Kancil. Gambar SNT / Ihsan bomba

Sepupunya Velter James Andrew, 25, parah koyak di kulit pipi kanan manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Rakhman berkata lori dipandu lelaki berusia 49 tahun dari arah Manggatal membuat pusingan U dekat persimpangan lampu isyarat.

“Ketika pemandu lori membuat pusingan U di lampu isyarat, tiba-tiba kereta Perodua dipandu mangsa dari arah Kota Kinabalu menuju ke pekan Inanam terlanggar bahagian hadapan lori berkenaan.

“Impak daripada kemalangan itu, pemandu Perodua Kancil disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh doktor dari Hospital Queen Elizabeth I (HQE I),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Keadaan kereta Perodua Kancil remuk dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Terminal Inanam, Jalan Tuaran, Kota Kinabalu. Gambar SNT / Ihsan IPD KK

Menurutnya, penumpang Perodua yang parah dikejarkan ke HQE I untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas turut berada di lokasi bagi mengeluarkan pemandu dan penumpang Perodua Kancil yang tersepit. -SabahNewsToday