Pilih Bahasa

Lelaki maut terhumban dari motosikal

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Seorang penunggang motosikal jenis Yamaha LC maut dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan di Simpang Kampung Binuang Jalan Lahad Datu – Tungku, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa Mohd Radzmir Amil Bustan, 24, parah dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Lahad Datu untuk menerima rawatan.

Mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC tidak sempat mengelak kenderaan jenis Proton Saga yang secara tiba-tiba masuk ke simpang. Gambar SNT / Ihsan IPD Lahad Datu

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata siasatan awal mendapati kenderaan jenis Proton Saga yang dipandu lelaki berusia 30 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Lahad Datu menuju ke Tungku manakala motosikal yang ditunggang mangsa dari arah bertentangan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu Proton Saga terbabit secara tiba-tiba masuk ke simpang hingga menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu terlanggar kenderaan berkenaan.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa melambung dan terjatuh manakala motosikal mangsa terjatuh di lorong bertentangan sebelum dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keadaan kenderaan jenis Proton Saga rosak di bahagian tepi belakang kenderaan. Gambar SNT / Ihsan IPD Lahad Datu

Beliau berkata, pemandu kenderaan pacuan empat roda terbabit bertindak membawa mangsa ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu kenderaan Proton Saga yang cuai ketika masuk simpang.

“Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Ini merupakan kemalangan maut kedua dalam melibatkan motosikal Yamaha LC di sini.

Pada 20 Mei seorang penunggang motosikal lelaki dan pembonceng wanita maut apabila terbabas ke dalam parit di Kampung Bumiputera Kilometer 25 Jalan Lahad Datu – Kunak. – SabahNewsToday