Pilih Bahasa

Lelaki maut tersepit di bawah lori trailer

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Seorang penunggang motosikal maut selepas tersepit di bahagian bawah lori jenis trailer, di Batu 3 Jalan Apas, pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 9.50 pagi itu, mangsa Mohd Zahierudin Alif, 21, parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pihak bomba berusaha mengeluarkan mangsa. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Nor Azizulkifli Mansor berkata, ketika kejadian mangsa yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 sedang dalam perjalanan menuju ke bandar Tawau.

“Ketika kejadian, mangsa yang berada di lorong kanan dengan jarak terlalu dekat melanggar kenderaan jenis Ford Ranger di hadapannya hingga menyebabkan mangsa terjatuh ke lorong kiri.

“Lori trailer yang berada di lorong kiri ketika itu tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa tersepit di bawah lori treler. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Beliau berkata, mangsa maut di tempat kejadian dan siasatan diteruskan dibawah Seksyen 41(1)(A)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri dalam kenyataan menerima panggilan kecemasan pukul 9.53 pagi.

Enam anggota yang diketuai kemudian respon ke lokasi kejadian menggunakan dua jentera penyelamat.

Hasil laporan diterima daripada ketua operasi, bomba yang tiba di lokasi kejadian bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah kenderaan lori trailer.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ditempat kejadian oleh Pegawai Perubatan.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pukul 10.40 pagi.-SabahNewsToday