Pilih Bahasa

Lelaki melecur ketika cuba menyelamatkan diri

Oleh Junaidi Ladjana

KENINGAU: Seorang lelaki melecur di bahagian kaki dan tangan ketika cuba menyelamatkan diri selepas rumahnya di Kampung Merampung, di sini, musnah dalam kebakaran, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.25 pagi itu, mangsa Razi Juanis, 30-an, dikatakan sempat keluar dari rumah itu bersama keluarganya ketika api sedang marak.

Seorang lelaki melecur dalam kebakaran rumah di Kampung Merampung, Keningau pagi tadi. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.26 pagi.

Katanya bertindak atas maklumat itu, tiga jentera dengan kekuatan seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi kebombaan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bertugas mendapati sebuah rumah setingkat musnah dalam kebakaran, dengan seorang penghuni lelaki melecur di bahagian kaki dan tangan ketika menyelamatkan diri.

“Mangsa kemudian diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba mengawal kebakaran menggunakan dua aliran daripada sumber air pili bomba berhampiran.

“Rumah berkenaan musnah sepenuhnya. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Punca sebenar kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan anggota bomba,” katanya. – SabahNewsToday