Pilih Bahasa

Lelaki rentung dalam kebakaran rumah sewa di Putatan

PUTATAN: Seorang lelaki berumur 19 tahun ditemui rentung dalam kebakaran rumah sewa lima pintu di Pekan Baru Putatan berhampiran Balai Polis Putatan di sini tengah malam tadi.

Mayat mangsa dikenali sebagai Mazlan bin Mad, dan dipercayai tidak memiliki dokumen, ditemui pasukan Forensik Bomba semasa membuat siasatan di tempat kejadian pukul 9.30 pagi tadi.

Rumah sewa lima pintu dan dua buah kenderaan musnah dijilat api dalam kebakaran di Putatan awal pagi tadi. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Kebakaran turut memusnahkan dua buah kenderaan.

Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, tiga buah jentera dengan seorang pegawai dan 9 anggota dari Balai Bomba Penampang dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus panggilan kecemasan diterima pada jam 12.31 tengah malam.

Anggota bomba memastikan api terpadam sepenuhnya. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Kerja-kerja pemadaman dan menyelamat turut dibantu enam anggota dengan sebuah jentera dari Balai Bomba Kota Kinabalu.

Api dapat dikawal pada jam 2.10 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya lebih sejam kemudian.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.-SabahNewsToday