Pilih Bahasa

LELAKI RENTUNG DALAM KEMALANGAN JALAN RAYA DI KG JANANG

Oleh Alfred Petrus

Bomba berusaha mengeluarkan mangsa daripada kenderaan tersebut. Gambar SNT/Ehsan Bomba

KUALA PENYU: Sekujur tubuh lelaki ditemui rentung dalam satu kemalangan jalan raya di Kampung Janang di sini awal pagi hari ini.

Dalam kejadian, kebakaran tersebut melibatkan sebuah kenderaan jenis Proton Persona musnah terbakar.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superitendan Azmir Abdul Razak berkata kenderaan yang dipandu mangsa, Dhyanchand Christopher Devaraj berumur 55 tahun terbakar setelah terbabas sendiri di jalan simpang empat kampung tersebut ke kawasan semak berhampiran.

Katanya siasatan di tempat kejadian tersebut berlaku ketika mangsa dari arah Kampung Janang menuju ke pekan Kuala Penyu.

“Semasa menuruni bukit yang curam, tayar sebelah kanan kenderaan tersebut disyaki pecah pecah sebelum magsa hilang kawalan lalu terbabas di lereng bukit dan terbakar.

“Mangsa cuba untuk keluar dari pintu depan sebelah kiri disebabkan pintu depan sebelah kanan tersekat namun tidak sempat kerana kenderaan tersebut meletup terlebih dahulu.

“Akibat daripada kejadian itu, mangsa terbakar rentung di bahagian tempat duduk penumpang depan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -SabahNewsToday