Pilih Bahasa

Lelaki sesat lebih 20 jam ditemui selamat

Oleh Junaidi Ladjana

KUNDASANG: Seorang lelaki yang tersesat ketika mendaki bukit Nulu Tinorindak, Kampung Lembah Permai, di sini, semalam, ditemui selamat, pagi tadi.

Mangsa Mohd Idris Kauhinin, 25, ditemui oleh orang awam dalam keadaan keletihan selepas sesat lebih 20 jam di kawasan hutan bukit berkenaan.

Lelaki yang sesat ketika mendaki bukit Nulu Tinorindak, Kampung Lembah Permai, Kundasang, ditemui selamat. Gambar SNT/Ihsan JBPM

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.30 tengah hari semalam, berkenaan seorang lelaki dipercayai sesat ketika mendaki bukit Nulu Tinorindak, dekat sini.

Katanya, seramai empat anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Operasi SAR dijalankan sepanjang laluan hingga ke puncak bukit Nulu Tinorindak bersama pasukan Pasukan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) dan agensi lain.

“Mangsa kemudian ditemui oleh orang awam di puncak bukit berkenaan jam 9.20 pagi tadi,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang keletihan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Sebaik mangsa ditemui, operasi SAR ditamatkan serta merta,” katanya.

Pasukan penyelamat yang menjalankan operasi SAR mencari mangsa sesat di bukit Nulu Tinorindak, Kampung Lembah Permai, Kundasang. Gambar SNT/Ihsan JBPM

Operasi SAR turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan orang awam. -SabahNewsToday