Oleh Mohd Nazllie Zainul

TAWAU: Polis daerah ini menahan seorang lelaki lelaki tempatan atas kesalahan memiliki dadah jenis syabu dalam serbuan petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, suspek berusia 41 tahun dan berbangsa Bugis itu ditangkap di sebuah rumah tidak bernombor terletak di Kampung Batu Dua Jalan Apas Tawau.
Pihak polis turut merampas sebanyak 5.2 gram syabu dengan anggaran nilai RM500 yang ditemui dalam salah sebuah bilik di kediaman terbabit.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata pihaknya membuat serbuan di lokasi berkenaan selepas melihat suspek berada dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata pemeriksaan tubuh badan ke atas suspek tidak menjumpai sebarang dadah.
“Bagaimanapun, pengadu yang juga anggota bertugas membuat pemeriksaan di dalam balik suspek dan menjumpai satu bekas menyimpan kaca mata berwarna putih di atas lantai bilik terbabit.
“Hasil pemeriksaan lanjut, kita mendapati ada enam paket plastik lut sinar berlainan saiz yang berisi bahan ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu.
“Ujian saringan awal air kencing juga menunjukkan suspek positif dadah jenis sama,” katanya.
Dalam pada itu, Fadil berkata suspek juga mempunyai beberapa rekod jenayah lampau iaitu satu kes di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952 serta dua kes di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952.
Beliau berkata suspek kini sudah ditahan dan bakal direman bermula 6 Februari.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39A (1) ADB 1952. -SabahNewsToday