Pilih Bahasa

LELAKI WARGA ASING DILAPORKAN HILANG DI LAUT

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Anggota Maritim Malaysia giat melaksanakan pencarian lelaki warga Filipina yang dilaporkan hilang di perairan Kudat pada Rabu lalu. – Gambar SNT/Ehsan Maritim Malaysia Zon Kudat

KUDAT: Seorang lelaki warga Filipina dilaporkan hilang di laut ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pulau Balambangan, dekat sini pada Rabu lalu.

Mangsa, Abdul Razi Bukuang, 45, dikatakan keluar daripada rumah adik iparnya di Kampung Landung Ayang sekitar pukul 7 pagi, namun tidak tiba dirumahnya pada hari sama.

Isteri mangsa yang berada di rumah mereka kemudian menghubungi adiknya itu bagi bertanyakan keberadaan mangsa namun memaklumkan lelaki berkenaan sudah keluar pada awal pagi. 

Pengarah Maritim Negeri, Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata adik ipar mangsa seterusnya membuat laporan berkaitan kehilangan abang iparnya itu pada pukul 12.30 tengah hari di pejabat Maritim Malaysia Zon Maritim Kudat, semalam.

Kamaruszaman berkata mangsa menggunakan sebuah bot kayu bernombor pendaftaran KT6111/3/F dan tidak membawa sebarang alat komunikasi.

“Bertindak atas maklumat itu, Maritime Rescue Sub-Center (MRSC) Kota Kinabalu mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 1.30 petang meliputi kawasan seluas 384 batu nautika persegi dengan keupayaan empat buah aset terdiri daripada aset Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin serta Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Selain itu, pihak bomba juga melaksanakan pencarian dikawasan persisir pantai sekitar Pantai Bak-Bak sehingga ke Tanjung Simpang Mengayau. 

“Bagaimanapun, operasi pencarian pada hari pertama ditangguhkan kira-kira pukul 5.45 petang semalam berikutan cuaca buruk dan disambung pada pukul 7 pagi ini. Bagaimanapun, pencarian sehingga ini masih belum menemui sebarang petunjuk,” katanya.

Sementara itu, beliau meminta orang ramai menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri di talian 088 270165 sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian atau sebarang jenayah yang berlaku di perairan negara. – SabahNews Today