Pilih Bahasa

Lelaki warga Filipina rogol anak sahabat karib ditahan

Oleh Junaidi Ladjana

BELURAN: Polis menahan seorang lelaki warga Filipina selepas disyaki merogol anak perempuan sahabat karibnya yang berusia 13 tahun di rumah pekerja sebuah ladang di Telupid di sini, 23 November lalu.

Dalam kejadian itu, suspek berusia 55 tahun itu yang juga pekerja ladang berkenaan dikatakan sering merogol mangsa sejak Julai lalu.

Suspek dipercayai sering melakukan perbuatan pada waktu subuh ketika ibu bapa mangsa keluar bekerja di ladang berkenaan.

Bagaimanapun perbuatan keji lelaki itu akhirnya terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian itu kepada ahli keluarganya kerana tidak tahan dengan perlakuan suspek.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati suspek tinggal di blok yang sama dengan rumah mangsa.

Katanya, suspek dipercayai sudah melakukan kejadian itu beberapa kali sebelum mangsa mengadu kepada ibunya mengenai perbuatan suspek. 

“Remaja itu bersama dengan keluarga tampil membuat laporan polis di Balai Polis Telupid pada pukul 12.47 pagi, 23 November lalu.

“Hasil siasatan mendapati, suspek mengambil kesempatan atas hubungan baik keluarga mangsa. 

“Suspek dan keluarga mangsa tinggal bersebelahan di rumah pekerja di ladang berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan. – SabahNewsToday