Pilih Bahasa

LELAKI WARGA INDONESIA TERSELAMAT HUKUMAN MATI SELEPAS PERTUDUHAN DIPINDA

Gambar Fail SNT

SANDAKAN, 18 Mac (Bernama) – Seorang lelaki warga Indonesia terselamat daripada hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini meminda pertuduhan ke atasnya kepada menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.

Tertuduh mulanya nenghadapi pertuduhan yang memperuntukan hukuman gantung kerana membunuh bekas isteri dan anak tirinya pada 2016.

Pesuruhjaya Kehakiman Bexter Agas Michael menjatuhi hukuman penjara 20 tahun ke atas Bakri Rukka, 49, selepas mendapati dia tidak mempunyai niat untuk membunuh Hasura Sima, 36 dan Mohd Basri Jamaluddin, 24 di kuarters pekerja Permodalan 1, IOI estate di Kinabatangan, masing-masing kira-kira 5.20 pagi dan 5.21 pagi, pada 11 Jan, 2016.

Mahkamah kemudian memerintahkan Bakri menjalani hukuman dari tarikh dia ditangkap pada 11 Jan, 2016.

Tertuduh dibicarakan pada 19 Ogos, 2017 hingga 7 Sept tahun lepas dan diperintahkan membela diri pada 30 Jan tahun ini.

Dalam kes lain, Bexter melepaskan dan membebaskan seorang lagi lelaki warga Indonesia daripada tuduhan membunuh rakan senegaranya di Ladang Genting, Pulau Jambongan di Beluran kira-kira 7.50 pagi pada 12 Okt, 2016.

Mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas Ignasius Subun, 34 kerana membunuh Yohanes Nino, 31, tanpa memanggil Ignasius membela diri selepas perbicaraan yang berlangsung dari 6 Nov, 2017 hingga 16 Nov tahun lepas.

Bakri dan Ignasius diwakili oleh peguam Farazwin Haxdy, yang dilantik oleh Konsulat Jeneral Indonesia di Kota Kinabalu sementara pendakwaan dijalankan oleh timbalan pendakwa raya Franklin Ganggan Bennet.

— BERNAMA