Pilih Bahasa

Lelaki warga Kanada ditahan cabul pelancong wanita Australia

Oleh Junaidi Ladjana

BELURAN: Seorang pelancong lelaki warga Kanada ditahan selepas disyaki mencabul pelancong wanita warga Australia di dalam bas ekspres ketika dalam perjalanan ke Telupid, Rabu lalu.

Dalam kejadian pada pukul 1.47 pagi, mangsa berusia 21 dikatakan duduk di dalam bas ekspres bersebelahan dengan seorang lelaki Kanada ketika dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Sandakan.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, mangsa kemudian menyedari suspek yang duduk  bersebelahan dengan mangsa meraba pada bahagian pahanya dan menyentuh seluar dalamnya.

“Mangsa kemudiannya bertindak dengan memarahi suspek atas perbuatan yang dilakukan. 

“Susulan itu berlaku kekecohan sebelum pemandu bas memindahkan tempat duduk suspek terbabit,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, setibanya di Sandakan suspek berusia 69 tahun kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Kasim berkata kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana cabul. – SabahNewsToday