Pilih Bahasa

Lemang ‘drive thru’ laku sepanjang Ramadan, Aidilfitri

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Lemang pastinya antara salah satu juadah popular setiap kali tibanya sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Kebiasaannya lemang dijual di gerai tepi jalan atau restoran namun seorang peniaga di negeri ini mengaplikasi konsep pandu lalu dalam memasarkan lemang diusahakannya.

Pengusaha Lemang Drive-Thru, Abdul Qahhar Bujang (kanan) memeriksa batang buluh yang dibakar sebelum dijual. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Abdul Qahhar Bujang, 34, berkata idea membuat perniagaan lemang pandu lalu itu dizahirkan selepas melihat konsep sama digunakan di beberapa restoran makanan segera sekitar tiga tahun lalu.

Abdul Qahhar berkata menerusi konsep seumpama itu, pelanggan tidak perlu lagi turun dari kenderaan masing-masing untuk membeli lemang malahan hanya perlu membuat tempahan sehari awal dan datang untuk mengambilnya.

Gerai Lemang Drive-Thru yang terletak di simpang jalan masuk ke Cybercity, Kepayan, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Selain itu, pelanggan juga boleh datang terus ke gerai dan pekerja bertugas akan mengambil tempahan sebelum menghantar makanan yang dipesan terus ke kereta pelanggan.

“Konsep ini lebih memudahkan serta pelanggan tidak perlu beratur panjang untuk membeli makanan,” katanya ketika ditemui di gerai Lemang Drive Thru Kota Kinabalu miliknya, baru-baru ini.

Penyediaan rendang ayam segar yang panas dari kawah di gerai Lemang Drive-Thru milik Abdul Qahhar Bujang di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Bercerita lanjut mengenai perniagaan lemang diusahakannya, Abdul Qahhar berkata walaupun hanya membuka perniagaan setiap kali tibanya bulan Ramadan, Aidilfitri dan Aidiladha namun sambutan di terima dalam kalangan pelanggan sentiasa di luar jangkaan saban tahun.

“Tahun lalu kita berjaya menjual lebih 4, 000 batang lemang dengan keuntungan sekitar RM44,000.

“Berbeza tahun ini, saya mulanya sedikit bimbang untuk memulakan perniagaan disebabkan penularan wabak Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.

Abdul Qahhar Bujang bersama set kombo lemangnya yang mendapat sambutan hangat pelanggan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Bagaimanapun, jangkaan saya itu meleset apabila permintaan daripada pelanggan semakin meningkat terutamanya melalui perkhidmatan penghantaran ke rumah.

“Melihat permintaan luar biasa pelanggan, kita  mensasarkan hasil jualan hingga RM70, 000 menerusi penjualan lebih 7, 000 batang lemang,” katanya mula membuka gerainya pada minggu kedua Ramadan yang lalu.

Bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata jika tahun sebelumnya purata lemang yang dibakar hanya 120 batang sehari tetapi jumlah berkenaan kini bertambah antara 160 hingga 200 batang setiap hari.

Pengusaha Lemang Drive-Thru, Abdul Qahhar Bujang membantu pekerjanya menyediakan lemang sebelum dibakar. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Sementara itu, Abdul Qahhar menyatakan gerai lemang pandu lalunya di kawasan Cyber City akan memulakan operasi seawal jam 8 pagi untuk proses membakar lemang dan memasak rendang namun pelanggan hanya boleh datang membeli bermula jam 2 petang hingga 6 petang setiap hari.

Selain lemang, pemuda berasal daripada Selangor itu menyatakan perniagaan diusahakannya turut menjual rendang terdiri rendang ayam dan daging sebagai pilihan kepada pelanggan sekiranya mahu menikmati lemang bersama juadah sampingan lain.

Abdul Qahhar melayani pelanggan yang datang membeli lemang di gerai Lemang Drive-Thru miliknya di Cybercity, Kepayan, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kita menjual lemang serendah harga RM15 hingga RM20 mengikut saiz.

“Rendang ayam pula dijual dengan harga RM8 sebekas manakala RM10 sebekas bagi rendang daging.

“Tetapi kita turut menawarkan lemang bersama rendang dalam satu hidangan set lengkap yang dijual pada harga RM15 bagi set lemang bersama rendang ayam dan RM18 untuk set lemang berserta rendang daging selain set kombo yang terdiri dari semua hidangan pada harga RM25 sebekas,” katanya. – SabahNewsToday