Pilih Bahasa

Lembaga Sukan Negeri Sabah digesa laksana tadbir urus kemudahan sukan dengan baik

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

 

Frankie (barisan hadapan, tengah) bersa6ma para Ahli-ahli Lembaga Sukan Negeri Sabah yang baharu bagi sesi penggal 2018 / 2021. – Gambar SNT / Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Lembaga Sukan Negeri Sabah (LSNS) perlu memastikan kemudahan sukan yang dibina oleh kerajaan sentiasa ditadbir urus dengan baik dan mampu menjana pulangan kepada agensi berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Frankie Poon berkata komitmen pihak pengurusan LSNS penting untuk memenuhi objektif pembinaan kemudahan sukan sebagai salah satu platform untuk mewujudkan atlit cemerlang.

Frankie (kanan) menyampaikan watikah perlantikan kepada KH Tan. Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Menurutnya beberapa kemudahan atau kompleks sukan di negeri ini telah menjadi venue acara sukan dan aktiviti lain peringkat negeri dan kebangsaan yang membawa faedah besar kepada LSNS.

“Terdapat 15 buah kompleks sukan dan enam buah asrama di negeri ini. Oleh itu adalah menjadi tugas dan tanggungjawab Lembaga Sukan Negeri Sabah yang diterajui oleh ahli-ahli lembaga agar menguruskan kemudahan itu dengan baik.

“Melalui kemudahan sukan yang disediakan ini, satu masyarakat yang sihat dan produktif dapat diwujudkan dan dalam masa sama melahirkan atlit negara cemerlang dalam bidang sukan,” katanya dalam ucapan sempena majlis penyerahan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah Ahli-Ahli Lembaga LSNS Penggal 2018/2021 di Ibu pejabat LSNS di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Frankie menyampaikan watikah kepada Pengerusi LSNS yang baharu iaitu Dr. Tan Kan Hock dan Timbalannya, Lau Kin Swa serta enam lagi Ahli Lembaga LSNS iaitu Raja Sundra Lingam, Prof. Madya Dr. Ismail Ali, Tan Jwee Peng, Dr. T. Nahulan, Terrence Baduk dan Aliudin Jumaat.

Mengenai pelantikan itu, Frankie mahu ahli-ahli lembaga dan pihak pengurusan sukan melaksanakan penilaian prestasi sebagai langkah bagi mengenal pasti tindakan dan seterusnya mengambil langkah susulan untuk meningkatkan prestasi LSNS.

Katanya mereka juga perlu memastikan tadbir urus korporat dilaksanakan dengan berkesan dan keputusan yang dicapai bukan sahaja tepat tetapi juga mengikut saluran undang-undang, prosedur dan tatacara yang ditetapkan dan berintegriti.

“Kefahaman semua ahli lembaga kepada peranan dan tanggungjawab masing-masing amat penting bagi membolehkan mereka menyumbang dengan lebih berkesan,” katanya. – SabahNewsToday