Pilih Bahasa

Lesen bot tamat tempoh, tiga warga asing ditahan APMM

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Ketiga-tiga suspek warga Indonesia ditahan dipercayai menggunakan lesen bot tamat tempoh. – Gambar SNT/Ihsan APMM Tawau

TAWAU: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) menahan tiga lelaki warga Indonesia dipercayai menggunakan lesen bot tamat tempoh di perairan Tinagat di sini semalam. 

Timbalan Pengarah Zon Operasi, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata, dalam kejadian pukul 5.56 petang itu pihak APMM yang menjalankan rondaan di sekitar kawasan tanggungjawab menahan bot yang dinaiki suspek berusia 49 hingga 54 tahun.

Suspek berusia 49 hingga 54 tahun turut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah. – Gambar SNT/Ihsan APMM Tawau

“Curiga melihat suspek tidak memaparkan nombor pendaftaran di bot terbabit, APMM kemudian meminta suspek menunjukkan lesen pendaftaran bot. 

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati lesen bot terbabit telah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bot tiga suspek warga asing yang ditahan oleh anggota APMM. – Gambar SNT/Ihsan APMM Tawau

Mohd Yusri berkata semua suspek turut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah. 

Katanya semua suspek ditahan dan bot diiring masuk ke Jeti APMM Tawau untuk siasatan lanjut manakala kes tersebut disiasat mengikut Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002 dan Akta Imigresen 1959/63. – SabahNewsToday