Pilih Bahasa

Lesen kilang kelapa sawit digantung cemari Sungai Segaliud – JAS Sabah

KOTA KINABALU, 6 Nov — Sebuah kilang kelapa sawit di Segaliud Sandakan digantung lesen selepas didapati menyebabkan pencemaran di Sungai Segaliud.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sabah Amirul Aripin berkata tindakan itu diambil hasil siasatan dijalankan pada 26 September lalu selepas menerima aduan daripada penduduk kampung yang terjejas.

Katanya hasil siasatan mendapati kilang tersebut membuang sisa buangan kilang ke Sungai Segaliud.

“Kilang itu diambil tindakan gantung lesen dibawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sejak 21  Okotber lepas dan sehingga kini belum dibenarkan untuk beroperasi semula,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Seminar Pematuhan akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di sini, hari ini.

Menurutnya terdapat tiga kilang kelapa sawit beroperasi di sepanjang Sungai Segaliud.

Beliau berkata pihaknya akan terus memantau rapi pencemaran di sungai tersebut bersama Jabatan Bekalan Air Negeri Sabah, Pihak Berkuasa Tempatan dan penduduk kampung.

  Media sebelum ini melaporkan penduduk kampung mendapati air Sungai Segaliud bertukar kepada warna hitam, selain bangkai ikan dan udang mati timbul di permukaan sungai.

— BERNAMA