Pilih Bahasa

Lestarikan Tawau dalam Program Cat Premis Perniagaan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Program mengecat premis bangunan perniagaan antara rangka kerja yang akan dilakukan ke arah lestarikan landskap daerah Tawau supaya lebih ceria dan berwarna-warni.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Datuk Ir Amrullah Kamal berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pemilik premis perniagaan bagi tujuan persetujuan bersama.

Majlis Serah Terima Tugas antara Setiausaha MPT, Joseph Pang (kanan) kepada Datuk Ir Amrullah Kamal (kiri). Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan syarikat pengeluar cat jenama Nippon Paint bagi membantu menjayakan program berkenaan.

“Tawau akan berubah wajah dan kita akan panggil Nippon Paint untuk sama-sama berusaha mengubah landskap daerah ini dengan cara beri diskaun 20 peratus bagi setiap pembelian cat jika persetujuan suda dibuat,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Presiden MPT di Dewan Persidangan MPT di sini hari ini.

Selain program itu, pelbagai lagi usaha yang beliau akan lakukan ke arah menjadikan daerah ini maju termasuk menarik lebih ramai pelabur dalam pelbagai bidang khususnya pelancongan.

“Kita mahu pelancong tidak hanya menjadikan Semporna sebagai kawasan tumpuan tetapi juga datang ke Tawau seperti yang diharapkan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew kerana di Tawau ini juga kaya dengan sumber,” katanya.

Terdahulu, ketika ditanya mengenai perancangan beliau dalam tempoh seratus hari memegang jawatan Presiden MPT, beliau berkata akan mengadakan kunjungan hormat kepada semua pemimpin di daerah ini.

“Saya akan mendapatkan pandangan serta perancangan mereka berkaitan daerah ini dan segala cadangan akan kita perhalusi untuk penyelesaian segala isu yang dihadapi,”jelasnya.

Menjawab mengenai isu air dan kebersihan di daerah ini pula, Amrullah berkata pihaknya akan melaksana pelbagai usaha bagi mengatasi perkara itu.

“Bagi isu air saya akan dapatkan maklumat dan adakan perbincangan dahulu daripada Jabatan Air Tawau manakala berkaitan aspek kebersihan daerah pula ianya memerlukan kerjasama dan kesedaran semua pihak.

“Kesedaran itu hanya boleh dilakukan dengan kempen kesedaran yang lebih agresif dan mungkin kita akan buat pertandingan kampung tercantik atau kampung terkotor sebagai reverse psikologi (psikologi terbalik)” tambahnya.-SabahNewsToday