Pilih Bahasa

LHDN berusaha tingkat kecekapan sistem percukaian

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

ketibaan Mohd Shafie (tengah) disambut oleh kakitangan pelbagai agensi semasa menghadiri majlis Sepetang Bersama Ketua Menteri anjuran LHDN di Kota Kinabalu. – Gambar SNT / Ehsan Jabatan Penerangan

KOTA KINABALU: Masalah percukaian akan dapat diselesaikan menerusi perkongsian maklumat dan tindakan bersesuaian bersama oleh agensi, jabatan dan badan berkanun negeri dan Persekutuan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Sabin Samitah berkata langkah itu penting kerana masyarakat sering melihat sejauhmana kecekapan kerajaan adalah melalui agensi di bawahnya.

Sabin (kiri) dan Mohd Shafie semasa sidang media selepas menghadiri majlis Sepetang Bersama Ketua Menteri di Kota Kinabalu. – Gambar SNT / Ehsan Jabatan Penerangan

Begitu juga dengan LHDN, beliau menjelaskan agensi itu memerlukan pengurusan hasil hal ehwal pentadbiran cukai secara telus, efisien dan berintegriti bagi menjamin keyakinan masyarakat terutama dalam kalangan pembayar cukai.

“Perkara ini adalah satu kemestian bagi LHDN bagi membina keyakinan rakyat bahawa segala tindakan percukaian yang dilaksanakan adalah berdasarkan undang-undang.

“Oleh yang demikian LHDN berharap dapat menjalinkan kerjasama terutama dalam perkongsian maklumat dan tindakan dengan agensi, jabatan dan badan berkanun bagi menyelesaikan masalah percukaian bersama,” katanya dalam ucapan sempena majlis Sepetang Bersama Ketua Menteri di sini hari ini.

Majlis yang dihadiri tetamu kehormat iaitu Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu mendapat sambutan menggalakkan daripada 220 Ketua-ketua jabatan, agensi dan badan berkanun negeri dan Persekutuan di Sabah.

Sabin berkata sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab mengutip cukai langsung bagi pihak kerajaan, peranan LHDN dalam agenda pembangunan negara dan kesejahteraan negara amat luas seperti dalam Bajet Persekutuan 2018 yang lalu.

Beliau menambah dana kutipan cukai langsung sebanyak 42.6 peratus daripada sumber kewangan negara membolehkan pelbagai aspirasi serta perancangan kerajaan dilaksanakan seiring dengan kerangka yang telah dibangunkan dalam menuju status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Sehubungan itu katanya, bagi merealisasikan hasrat itu elemen jumlah kutipan cukai langsung akan sentiasa diberikan penekanan oleh kerajaan kepada LHDN.

“Untuk makluman pencapaian kutipan cukai Sabah berjaya menyumbang sebanyak tiga peratus hasil negara namun jumlah itu tidak menggambarkan hasil negeri ini sepenuhnya kerana syarikat-syarikat besar memiliki fail (percukaian) di Kuala Lumpur.

“Ini adalah struktur pengurusan LHDN yang termaktub bukan sahaja kepada Sabah tetapi seluruh negara sekiranya sesebuah syarikat itu mengumpul hasil perniagaan sehingga RM30 juta,” ujarnya.

Beliau berkata secara dasarnya LHDN akan berusaha menggalakkan pematuhan cukai secara sukarela dan memberikan kesedaran cukai bagi memastikan seluruh rakyat celik cukai dan memahami tangungjawab masing-masing.

Sejajar dengan hasrat murni itu katanya, LHDN telah merangka dan melaksanakan pelbagai program menerusi aktiviti pendidikan cukai seperti taklimat, program tanggungjawab sosial korporat (CSR), hari bersama pelanggan dan khidmat nasihat hasil. – SabahNewsToday