Pilih Bahasa

Libas bapa saudara dengan parang, lelaki kemurungan ditahan

Oleh Alfred Petrus

KENINGAU: Seorang lelaki warga tempatan berusia 25 tahun yang disyaki suspek kes mencederakan individu menggunakan senjata tajam berjaya ditahan Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata suspek ditangkap di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bahagia C, Nabawan.

Parang yang digunakan oleh suspek untuk melibas bapa saudaranya. Gambar SNT/Ihsan Polis

Tangkapan tersebut dibuat pihak polis selepas menerima laporan berkenaan pergaduhan menggunakan parang yang menyebabkan perut seorang lelaki terburai.

Siasatan awal mendapati mangsa ketika itu sedang duduk bercerita dengan isteri yang merupakakan makcik suspek.

“Tiba-tiba, anak buah mangsa datang dan terus mengambil parang berukuran 38 sentimeter lalu melibas mangsa sehingga mengenai perut mangsa.

“Suspek yang ketakutan bertindak melarikan diri dengan membawa sebilah parang dan sempat disergah oleh bapa suspek yang melihat suspek ketika itu melalui kawasan tersebut serta bertindak menahan lalu merampas parang tersebut.

“Suspek yang bertindak agresif telah berjaya melarikan diri. Mangsa yang mengerang kesakitan hanya duduk di kerusi papan. Isteri mangsa yang ketika itu turut berada di lokasi kejadian menjerit terkejut dan cuba mendapatkan bantuan dari jiran sekitar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu mangsa mengalami luka di perut sebesar 20 sentimeter panjang dan empat sentimeter lebar. Mangsa seterusnya mendapat rawatan di Hospital Queen Elizabeth dan disahkan stabil.

Ketika tahanan dibuat, Shahrudin berkata pihaknya turut merampas sebilah parang panjang yang digunakan suspek.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata tajam.

Siasatan lanjut mendapati, suspek melakukan perkara terbabit disebabkan rasa tidak puas hati terhadap bapa saudaranya iaitu mangsa yang disangkakan ada menyembunyikan anak perempuan suspek yang berusia enam bulan.

Daripada temubual bersama bapa suspek, salah seorang anak perempuan kembar suspek yang dilahirkan kembar sejak enam bulan lalu mengalami masalah kesihatan dan telah meninggal dunia tiga minggu yang lalu.

Suspek yang mengalami kemurungan akibat kehilangan anak tersayang, bertindak di luar kewarasan akibat mengambil bahan terlarang jenis dadah atas pengakuan suspek. -SabahNewsToday