Pilih Bahasa

Libatkan anak muda dalam membentuk hala tuju negara

Firdaus (duduk dua dari kiri) bersama para peserta yang hadir dalam Program Kupi-Kupi Anak Muda. – Gambar SNT/Ihsan Bersatu Sabah

KOTA KINABALU: Penglibatan anak muda dalam membentuk hala tuju negara khasnya dalam aspek pinjaman pendidikan mampu diperluaskan melalui interaksi secara interaktif dan kondusif.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Khairul Firdaus Akhbar berkata mekanisme menyeluruh melibatkan anak muda dalam proses menentukan hala tuju dan dasar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah perlu.

“Saya menyarankan agar pihak kerajaan khasnya Kementerian Pendidikan dan PTPTN mewujudkan mekanisme yang lebih menyeluruh yang meliputi peluang bagi anak muda terlibat dalam proses menentukan hala tuju PTPTN.

“Selain itu, saya merasakan PTPTN dapat digerakkan pada landasan yang tepat dengan cara ini kerana ia mampu memberi gambaran tepat dan memahami aspirasi anak muda,” katanyadalam program Kupi-Kupi Anak Muda bersama Pengerusu PTPTN anjuran Biro Penerangan Bersatu Sabah di sini semalam.

Melalui platform ini, beliau berkata para penggubal berpeluang untuk mengemukakan perkembangan status dan kedudukan institusi tersebut untuk pengetahuan kumpulan sasar sekaligus berupaya membina kefahaman tentang rasional bagi tindakan serta keputusan dasar dalam operasi pengurusan PTPTN.

Menurut Firdaus, Bersatu amat mengalu-alukan pendekatan pengurusan PTPTN baharu khususnya yang mampu membawa kebaikan kepada generasi muda di Sabah.

“Kita berharap interaksi anak muda dan PTPTN mampu diwujudkan dan pandangan anak muda diterima pakai dalam pembentukan dasar PTPTN,” katanya.

Proses tadbir urus tersebut dicadangkan untuk dilaksanakan secara menyeluruh dengan kadar segera susulan daripada perkara tersebut yang turut menjadi komitmen yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Keputusan perlu diambil segera dalam tempoh yang bersesuaian kerana ia mampu mengelakkan perkara ini terus menjadi isu politik yang tidak berkesudahan.

“Kita sedia maklum bahawa PTPTN adalah sebuah institusi penting dalam agenda ‘Pendidikan Untuk Semua’ dan ini bermakna tidak wajar untuk anak watan kita terhalang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi atas sebab kekangan kewangan,” katanya. – SabahNewsToday