Pilih Bahasa

Liga Super: Tambadau kongsi mata dengan PDRM

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Skuad Tambadau Sabah ‘memulakan hidup’ Liga Super 2020 berkongsi mata dengan pasukan PDRM di Stadium KLFA Cheras pada malam Ahad lalu.

Walaupun mengawal permainan, namun Sabah hanya mampu seri 0-0 dengan The Cops, pasukan kedua Liga Premier dinaikkan ke Liga Super musim ini.

Kurniawan Dwi Yulianto.-Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Terdapat beberapa peluang yang dibuka oleh pemain Namibia, Petrus Shitembi untuk penyerang Alto Linus dan Hector Ramos namun tiada penyudahan.

Ketua Jurulatih Kurniawan Dwi Yulianto ketika ditemui selepas perlawanan tamat memberitahu ianya bukanlah persembahan terbaik anak buahnya kerana dia arif sejauh mana kemampuan mereka.

“Syukur dapat satu mata walaupun sasaran adalah mendapatkan tiga mata penuh. Penghargaan kepada pemain kerana berusaha buat yang terbaik. Tahniah juga kepada PDRM kerana bermain dengan bagus,” katanya.

Kurniawan mengakui perlawanan pertama musim selalunya sukar namun semua kesilapan yang dilakukan dalam perlawanan tersebut akan diambil kira dan diperbaiki untuk menghadapi perlawanan seterusnya.

“Itu bukan persembahan maksima mereka … kita ambil catatan untuk hadapi perlawanan seterusnya,” ujarnya.

Antara catatan di dalam buku nota beliau ialah terdapat beberapa peluang terlepas melalui setpiece bola mati seperti tendangan sudut serta kesilapan individu yang perlu diperbaiki.

Tambadau Sabah akan berdepan dengan Felda United di gelanggang sendiri di Stadium Likas pada Sabtu 7 Mac nanti.-SabahNewsToday